Hari ini genaplah 3 tahun peristiwa tsunami yang melanda Lautan India pada 24 Disember 2004. Bencana terbesar dalam alaf baru itu telah mengorbankan beratus ribu orang di Sumatera, Sri Lanka, Thailand, Malaysia , Afrika dan beberapa negara lain. Selain itu, ia turut memusnahkan harta benda dan juga merubah sedikit kedudukan benua Asia.
Hari ini, tangisan tsunami masih lagi kedengaran dengan luka yang masih berdarah. Acheh, yang menjadi sasaran utama tsunami itu masih belum pulih sepenuhnya. Bukan sekadar kemusnahan fizikal yang perlu dipulihkan tetapi juga dari segi pembangunan kemanusiaan. Berpuluh ribu anak yatim mengharapkan pembelaan dan perlindungan.
Tsunami juga turut mengubah sikap kita terhadap semangat tolong-menolong. Peristiwa tsunami menyaksikan bantuan terbesar yang dihulurkan oleh orang-ramai untuk mangsa-mangsa yang memerlukan dari segi material dan bantuan emosi. Sehingga kini, bantuan masih disalurkan beberapa tempat termasuk Acheh. Bencana lain yang menyusul selepas itu seperti gmpa bumi di Nias, Iran dan Jokjakarta mendapat reaksi positif dan segera dari negara lain dan juga organisasi sukarela seluruh dunia. Malah, bencana banjir di Malaysia pada tahun lepas dan tahun ini juga mendapat perhatian segera dari rakyat seluruh negara.
Kehebatan tsunami 2004 bukan sahaja dari segi kekuatan dan kemusnahannya, tetapi turut mengubah pandangan kita terhadap kerja sukarela. Sejak peristiwa itu,sikap kerajaan Malaysia terhadap pembangunan kesukarelaan juga turut berubah. Disebalik kesengsaraan yang datang, ada juga kegembiraan disebaliknya. Diharap, pandangan dan pemahaman orang ramai dan kerajaan tentang kerja sukarela tidak tertumpu kepada bantuan bencana semata-mata. Ini kerana, kerja sukarela itu merangkumi skop yang sangat luas.
Kepada semua yang membantu mangsa tsunami 2004, diucapkan jutaan terima kasih dan teruskan membangunkan kesukarelaan di Malaysia.
-Pak Cipan-
No comments:
Post a Comment